As Time Goes By

Semalam saya selamat menerima set bungkusan yang berisi ophtalmoscope dan otoscope dari Johor. Terima kasih emak dan abah yang bersusah payah mengepos. Dan terima kasih buat abang saya yang berani memberi pinjam barang kesayangannya kepada saya yang selalu screw-up with things ni. Terima kasih kerana percaya saya akan menjaganya dengan baik ;p

Posting ophtalmology telah berakhir. Saya sudah habis exam tetapi bungkusan itu baru saya terima. Tak mengapa, saya masih boleh guna untuk ulangkaji. Tinggal kurang seminggu sahaja lagi sebelum musim cuti raya tiba. Sedar tak sedar sudah 3 posting berlalu. Selepas ini saya akan masuk posting yang lebih hardcore iaitu orthopedik, apa-apa yang berkaitan dengan patah tulang, kemalangan, dan segala penyakit tulang.

Jabatan dan wad orthopedik seolah-olah melambai-lambai memanggil, dan lebih kurang tinggal 6 bulan peperiksaan besar akan menjelma, yang insyaAllah menjadi penutup sejarah hidup sebagai undergraduate medical student selama 5 tahun. Saya tak pasti apakah perasaan diri sendiri. Gembira? Sedih? Takut? Entahlah.

Yang pasti saya agak terkilan kerana Ramadan sudah hampir ke penghujung. Saya pula asyik dengan hal-hal yang kurang mendekatkan diri saya denganNya. Betapa lemahnya saya. Masa yang tinggal ini insyaAllah saya akan berdoa untuk bertemu lagi dengan Ramadan akan datang yang sentiasa dirindui umat islam. Saya pernah terdengar bahawa kalaulah kita semua tahu rahsia di sebalik Ramadan, sudah pasti kita mahu setiap bulan adalah bulan Ramadan. Hanya mereka yang menginsafi keberkatan bulan Ramadan, apabila ia berakhir akan terasa pahala amalan tidak lagi mudah mendapat gandaan. Dosa-dosa tidak lagi mudah diampunkan. Dosa dan maksiat tidak lagi mudah ditinggalkan. Kebaikan tidak lagi ringan dilakukan.

Sudah 3 bulan berlalu untuk mencukupkan jangka masa diagnosis penyakit saya, iaitu adjustment disorder. Tipu aje, mana ada penyakit, sakit hati tu selalu la, tetapi bukan sakit hepatitis, atau cirrhosis, atau pun myeloproliferative disorder atau apa-apa yang berkaitan dengan penyakit hati atau bahasa omputihnya liver. Saya tak kisah hati ni disakiti, kerana ia sudah lali untuk menjadi sakit, cuma setakat ni hati ini tidak pernah lagi masuk ICU dan jantung saya pula belum pernah masuk CCU. Harapan saya hati saya tidak akan jadi sampai begitu. Jangan ambil peduli sangat kata-kata saya ni, kerana salah satu hobi saya ialah merepek.. Just ignore this okay ( some kind of begging for sympathy?) No lah…

Baru-baru ini saya terjumpa kawan sekolah lama. Ayong, kalau dikau terbaca blog ini, jangan marah ye. Tak sangka kita boleh berjumpa setelah 8 tahun terpisah. Kami dulu kaki ’fly’ semasa tingkatan 1 dan 2 di SIGS. Kami tak pernah kantol dalam XPDC kami mem’fly’kan diri. (sesiapa pernah duduk asrama tahulah apa maksud ’fly’). Sampailah suatu masa kami kantol juga. Tetapi kami memang tak makan saman. Sudah diberi warning berkali-kali namun kami addicted dengan misi kami. Pada mulanya kumpulan kami besar iaitu seramai 7 orang, namun satu persatu tarik diri sampailah tinggal 3 orang sahaja iaitu Ayong, Roha, dan Awien (nama panggilan saya ketika itu). Saya sangat rindu sama Roha, sampai sekarang lost contact.

Akibat perbuatan kami, kami dibuang asrama. Kami dah macam selebriti ketika itu, siapa yang tak kenal kami;p. Bukannya nak bangga tapi malu teramat sangat dengan semua orang. Nasib baik kena buang asrama, kalau tak mana kami nak letak muka kami. Teruk juga kami kena brainwash dengan guru besar, kakak-kakak senior ( kerana saya sekolah perempuan sahaja masa tu), dan ibu bapa kami. Saya juga bertukar sekolah selepas itu. Saya telah menconteng arang di muka kedua orang tua yang saya sayang.

Terlalu banyak kenangan manis di sekolah itu. As Ayong said to me, its just our learning curve although it was so damn stupid.

Agak lucu apabila mengenang kisah lama, zaman kanak-kanak nakal dulu. Tapi saya bukanlah senakal yang disangka, cuma seorang yang sukakan adventures. Saya juga mungkin telah menghidapi Attention Deficit Hyperactive disorder (ADHD)? Apabila saya semak balik buku teks, saya tidak memenuhi DSM IV ataupun ICD 10 untuk memenuhi kriteria penyakit ADHD. Saya masih terkilan kerana amat banyak hasrat yang tidak tertunai kerana banyak halangannya dan hanya kerana saya seorang perempuan. Apa-apapun itu semua tidak penting sekarang, saya juga berterima kasih kepada ibu bapa saya kerana baru kini kutahu rupa-rupanya itulah tanda kasih sayang mereka. Itu sudah menjadi memori yang sukar dilupakan.

Apa yang dicari sebenarnya?

Bilakah agaknya masanya untuk terjaga dari tidur dan mimpi indah ini?Apabila Tuhan mengizinkannya.

Dah terlajak menulis, saya ingin kongsi sikit;

Dr. Yusuf Al-Qaradawi ada mengatakan melalui buku Iman dan Kehidupan,terjemahan Fachruddin HS ;

Kebahagiaan itu sebenarnya adalah terletak dalam diri manusia itu sendiri. Kebahagiaan itu suatu yang abstrak (tidak dapat dirasa), tidak dapat dilihat dengan mata, tidak dapat dihitung dengan jumlah angka-angka, tidak dapat disimpan dalam gudang, tidak dapat dibeli dengan rupiah, dolar, dan pound. Kebahagiaan itu suatu hal yang dirasakan oleh manusia dalam batinnya sendiri, bukan didatangkan dari luar, iaitu jiwa yang bersih, hati yang tenteram, fikiran yang lapang, dan perasaan yang tenang. Pada hakikatnya, kebahagiaan itu adalah suatu yang tumbuh dan bersemi dalam diri manusia, bukan didatangkan dari luar.

Seorang ahli fikir yang telah tua mengatakan :

”Pokok ketenangan jiwa itu adalah sesuatu yang disimpan oleh Allah untuk diberikan hanya kepada orang-orang pilihanNya. Sesungguhnya banyak orang yang diberi Allah kepintaran, kesihatan, dan harta yang banyak serta kemasyhuran. Tetapi ketenangan jiwa hanya dikurniakan oleh Allah dengan ukuran dan terbatas.”

”Biarlah Ya Tuhan segala kesenangan dunia ini terletak di bawah tapak kaki orang bodoh. Dan kepadaku, berikanlah hati yang tidak pernah bergoncang!”

Ketenangan jiwa adalah hembusan dari langit, diturunkan ke dalam hati orang yang beriman dari penduduk bumi, supaya mereka berhati teguh di kala orang banyak mengalami kegoncangan. Mereka yakin ketika orang banyak penuh keraguan. Mereka sabar ketika orang banyak telah berkeluh kesah dan mereka berlapang dada ketika orang banyak telah panik.

Semoga kita adalah antara orang2 yang terpilih tu.Amiin

No Comments Yet

No comments yet.

Comments RSS TrackBack Identifier URI

Leave a comment